KUALA LUMPUR, 31 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan pendiriannya akan berdiri teguh bersama rakyat Mesir yang memperjuangkan Islam, mempertahankan kedaulatan negara, memperbaiki kestabilan politik dan ekonomi serta mengembalikan kesejahteraan rakyat.

Mereka turut menolak sebarang bentuk pengaruh daripada Amerika Syarikat dan Israel dalam pembentukan polisi Mesir, di samping berharap agar pemerintahan baru di negara itu dapat membantu negara umat Islam di Palestin secara konsisten dan menjadi asas kepada kesatuan negara-negara Arab di Timur Tengah.

Ketua DPPP, Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi menegaskan, DPPP mengutuk keras sebarang bentuk kekerasan dan kekasaran yang dilakukan oleh regim Hosni Mubarak terhadap peserta demonstrasi serta menuntut agar desakan mereka dilayan secara profesional dan adil.

Menurut beliau, ini termasuklah membebaskan kesemua tahanan peserta demonstrasi dan pengamal media kerana ia bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada sebarang usaha ke arah pembubaran Parlimen Mesir dan penganjuran pilihanraya umum yang telus dan bersih.

“Pihak penganjur pilihanraya mestilah bebas daripada sebarang campur tangan parti politik, di samping menjamin kebebasan media untuk melaporkan perkembangan dan hasrat rakyat kepada pengundi dan masyarakat luar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi memorandum khas DPPP yang diserahkan bersama memorandum yang diserahkan oleh para pemimpin PAS, Pakatan Rakyat dan beberapa NGO kepada kedutaan Mesir, di sini, hari ini.

Menerusi memorandum itu, DPPP turut melahirkan sokongan dan komitmen solidariti kebangkitan rakyat Mesir menentang regim autokratik Hosni Mubarak.

“Penentangan rakyat Mesir adalah manifestasi penolakan prinsip ketidakadilan, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah sejak beberapa dekad yang lalu,” katanya.

DPPP turut mengucapkan tahniah khususnya kepada golongan muda yang berani dan aktif menyertai agenda revolusi bagi menuntut keadilan dan pembaharuan di Mesir.

“Malah, kami mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terkorban mahupun tercedera dalam saingan revolusi ini,” tegasnya.

Pergolakan politik di Mesir kini adalah ekoran kejatuhan regim pemerintah Zein Al-Abidin di Tunisia lalu menjalar ke beberapa buah negara jiran lain termasuk Yaman, Oman, Algeria dan Jordan.

Dengan perkembangan terbaru yang berlaku di Mesir, DPPP turut menjangkakan teori domino itu akan terus berantai sehingga memberikan kesan revolusi keadilan sedunia.

“Namun melihat perkembangan pergolakan politik hari demi hari di Mesir, DPPP melihat situasi semakin kritikal apabila pihak pemerintah tidak mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan perkara pokok dan sebenarnya.

“Sebaliknya, mereka melakukan pembantaian terhadap peserta demonstrasi seperti menembak dengan menggunakan gas, air dan pukulan terhadap mereka. Malah lebih parah lagi apabila hubungan komunikasi melalui media baru dan telefon disekat untuk memadamkan kemaraan rakyat,” katanya.

Jelas, menurut beliau, sikap yang ditunjukkan itu telah mencabul hak asasi manusia dan memburukkan wajah demokrasi di Mesir.

Berdasarkan pendedahan-pendedahan media antarabangsa, pihak berkuasa Mesir telah mengambil pendekatan kekerasan untuk mengawal dan meredakan keadaan.

“Walau bagaimanapun, desakan terhadap agenda reformasi, kestabilan, demokrasi dan kebebasan tetap menjadi agenda utama dan kami menyokong usaha tersebut,” tegasnya.

Beliau berharap agar hasrat DPPP yang disuarakan melalui memorandum itu dapat disampaikan kepada pihak-pihak simpatisan dan pejuang revolusi kebangkitan rakyat di Mesir.

 

DPP PUTRAJAYA : KAMI MENDOAKAN IKHWAH, SAUDARA2 KAMI DI MESIR AKAN BERJAYA DALAM MISINYA MENGULING PEMIMPIN YG ZALIM… AMINN

Untuk mendapat kembali sokongan di Felda, anggota PAS ditegur supaya membuang anggapan bahawa anggota keluarga mereka secara automatik akan kekal bersama parti Islam itu.

Sebaliknya, naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keahlian baru di kalangan anak-anak anggota PAS hendaklah digiatkan.

pas muktamar 130610 tuan ibrahim tuan man“Sikap dan anggapan anak ahli akan kekal bersama PAS mesti dihapuskan, kerana sokongan tanpa menjadi ahli menyebabkan mereka tidak merasai wajibnya memperjuangkan Islam,” beliau dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim (kiri) yang juga pesuruhjaya PAS Pahang mengesyorkan supaya pengajian agama di masjid dan markaz sekitar kawasan Felda perlu digerakkan.

“Kita tidak mahu ahli PAS yang emosi tanpa kawalan ilmu, kerana itu program asas bagi parti seperti usrah, tamrin, muqayyam, dan rehlah mesti dihidupkan kembali,” ujarnya lagi.

Semalam, dalam pilihan raya kecil Tenang, calon PAS Normala Sudirman tewas kepada calon BN Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakala Azahar memperolehi 6,699 undi.

Sokongan kuat terhadap Zahar datang daripada tiga gugusan Felda di kawasan itu, yang lazimnya secara tradisi menyokong BN.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim hari ini menyeru seluruh jentera PAS menghilangkan tanggapan bahawa kawasan Felda dan kampung tradisional merupakan kubu BN.

“Untuk menganggap Felda kubu BN saya kira agak ekstrem kerana PAS pernah menang di kawasan Felda bahkan pada tahun 1999, bila mana PAS menang di kawasan majoriti melayu, ia termasuk kawasan Felda,” katanya yang diminta mengulas kegagalan PAS menembusi kawasan Felda di Tenang.

DPP PUTRAJAYA :  DALAM PERJUANGAN ANDAI ILMU TIDAK MENJADI DASAR PERJUANGAN KITA, MAKA PERJUANGAN KITA TIDAK AKAN MAMPU BERTAHAN LAMA, JUSTERU AYUH PEMUDA SEMUA KITA SEMARAKKAN PROGRAM2 ILMU DI SURAU DAN MASJID DI KAWASAN SEKITAR KITA..PEMUDA2 MESTI TURUN KE MASJID…ALLAHUAKBAR!!!

1. Pemuda Putrajaya ingin mengucapkan tahniah diatas desakan dan usaha yang dilakukan oleh semua pihak termasuk PAS Kawasan dan Persatuan-persatuan penduduk di Putrajaya, maka Sekolah Rendah Agama dan Sekolah Menengah Agama Putrajaya telah beropeasi bermula 1hb Januari yang lepas.  Sekolah Rendah Agama Putrajaya telah beroperasi sepenuhnya bangunan sendiri di Presint 9. Manakala, Sekolah Menengah Agama Putrajaya pula hanya beroperasi dengan menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaaan Presint 11 (2). Sesi pertama yang bermula pada 1hb Januari, hanya mengambil pelajar baru dari tingkatan satu dan hanya menghadkan kepada 3 kelas sahaja dengan seramai 15 orang kakitangan termasuk kakitangan am.

2. Pemuda Putrajaya melihat usaha ini adalah sebahagian daripada tanda-tanda Pilihanraya Umum akan datang semakin hampir. Ini juga di lihat usaha terdesak daripada UMNO-BN bagi menghadapi Piliharaya Umum akan datang. Ini kerana , tidak terdapat suatu perancangan teliti telah dilakukan oleh Tengku Adnan, selaku ahli Parlimen Putrajaya dan PihakPerbadanan Putrajaya bagi merealisasikan kewujudkan sekolah terbabit terutamanya Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya.  Malah menurut matlumat yang diperolehi, tiada suatu kawasan pun yang telah diwarta sebagai tapak untuk Sekolah tersebut.

3. Pemuda Putrajaya juga melihat usaha di atas hanyalah bersifat politik dan bukanlah bertujuan bagi melahirkan modal insan yang memahami Islam sebagai Ad-deen dan bukanlah bertujuan membentuk generasi muda Putrajaya yang mentaati Agama. Ini dapat dilihat dengan jelas kepada program Tahunan Belia yang diadakan di Putarajaya yang jauh tersasar dari kehendak Islam.

4. Pemuda Putrajaya juga melihat, bahawa usaha untuk mengadakan Sekolah tersebut lahir dari desakan yang pernah dikemukakan oleh PAS Kawasan disamping desakan yang diwujudkan oleh persatuan-persatuan penduduk di Putrajaya. Pemuda Putrajaya juga berkeyakinan penuh, bahawa pelan mewujudkan tapak kekal Sekolah Menengah Agama Putrajaya masih belum diputuskan lagi dan ini sudah pasti akan mengambil masa yang lebih lama, sebagaimana desakan yang pernah dikemukana terhadap Sekolah Rendah Agama.

5. Desakan untuk mengadakan Sekolah Agama Rakyat di Putrajaya telah diperjuangkan oleh PAS Kawasan Putrajaya semenjak tahun 2004 lagi, walau bagaimanapun, projek pecah tanah dan perlancaran hanya dilaksanakan selepas pilihanraya 2008 dan pengambilan pelajarnya hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini, iaitu tahun di mana semua pihak menjangkakan Pilihanraya Umum ke 13 akan berlangsung.

6. Kenyataan di atas dikuatkan lagi dengan kenyataan yang pernah disebut Tengku Adnan di dalam mesyuarat Perbandanan dan pertemuan dengan Ketua-ketua Blok dan Persatuan Penduduk.  Pada tahun 2004, ketika mula-mula diutarakan tuntutan penduduk, beliau pernah menyatakan, bahawa dengan kehadiran Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Menengah Agama akan menjatuhkan imej Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Bertaraf Dunia. Pandangan sedemikian dilihat seolah-olah menghina Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

7. Walau bagaimanapun, Pemuda Putrajaya mengharapkan dengan ada Sekolah Rendah Agama dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, perkembangan Islam di Putrajaya akan dapat disebarluaskan kepada seluruh penduduk Putrajaya. Di samping itu juga, diharapkan agar memberi kesan yang baik kepada pendidikan Islam dan masa depan umat Islam disamping menangkis pandangan negatif kepada terhadap Islam

WAN ASRUL AFENDI MUHAMMAD
Ketua
Dewan Pemuda PAS Putrajaya

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 19 Jan — PAS menegaskan hasrat untuk mewujudkan sebuah negara Islam tetap menjadi impian parti itu buat selama-lamanya walaupun tidak termaktub dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat meluluskan Dasar Bersama ketika konvensyen pertama pada Disember 2009 dan keluar dengan Buku Jingga pada pertemuan tahunan mereka bulan lalu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata, parti Islam itu akan sentiasa “mengidamkan” pemerintahan sebuah negara Islam.

“Meskipun atas keinginan kami untuk terus memperjuangkan sebuah pemerintahan negara Islam, izinkan ia jadi impian kami sampai kiamat.

“Tiada halangan, DAP juga tidak dihalang untuk berimpian, kita punyai cita-cita yang tersendiri atas perjuangan PAS.

“Ini adalah permuafakatan yang kita capai dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat. Jangan jadikan ia (negara Islam) cara pecah perintah kami (Pakatan Rakyat),” katanya ketika Forum Janji 100 Hari Pakatan Rakyat di  sini malam tadi.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, PAS lebih selesa bekerjasama DAP dan PKR daripada Umno-Barisan Nasional (BN).

“Kami PAS bekerjasama untuk menegakkan keadilan menentang kezaliman bersama rakan DAP dan PKR.

“Kami ingin bekerjasama dengan sesiapa termasuk DAP walaupun mereka bukan Islam.

“Tapi demi keadilan kami bekerjasama dengan DAP daripada mana-mana pihak yang enggan menegakkan keadilan,” katanya.

Isu negara Islam selama ini menjadi “duri dalam daging” dalam Pakatan Rakyat namun Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh ketika Konvensyen Pakatan Rakyat bersedia berbincang dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menyelesaikannya.

Ia juga menjadi modal serangan ke atas PAS yang membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Forum Janji 100 Hari Pakatan Rakyat turut disertai Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli.

Program anjuran Dewan Pemuda PAS pusat itu dihadiri kira-kira 100 orang.

Tambah Dzulkefly, negara yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak akan muflis sekiranya gagal menguruskan urus tadbir negara dengan baik.

Beliau berkata kerajaan kini berdepan dengan peperangan untuk mengatasi “hutang dunia”.

“Negara bertanggungjawab untuk mengatasi hutang negara, yang berjaya adalah negara yang mampu uruskan hutangnya.

“Apabila kita perkenalkan program 100 Hari Pakatan Rakyat, Perdana Menteri takut dan mula menakut-nakutkan kalau Pakatan Rakyat memerintah negara akan muflis.

“Mereka (BN) guna kaedah untuk menakutkan rakyat tapi bukan mudah kerana rakyat sudah celik maklumat,” katanya sambil menambah, hutang terkumpul negara seluruh dunia berjumlah RM246 trilion dan ia bertambah setiap tahun.

“Seperti kita maklum hutang negara sudah melebihi 50 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ataupun kira-kira RM250 bilion buat pertama kali dalam sejarah,” tambah Dzulkefly.

Pua berkata melalui Program 100 Hari Pakatan Rakyat negara boleh mengambil alih konsensi lebuh raya tanpa memufliskan negara.

“Mereka (BN) kata pengambilan ambil alih lebuh raya akan memufliskan negara tapi tidak sebaliknya kita boleh membantu rakyat.

“Janji 100 Hari Pakatan Rakyat mementingkan rakyat bukan membebankan,” kata Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Sementara itu, Rafizi berkata, 10 inisiatif dalam program itu diambil untuk ringankan beban rakyat yang dibebankan dengan kadar pendapatan yang rendah.

“Sebab kita buat itu adalah untuk membantu rakyat mengurangkan kos, yang jadi masalah BN menekan rakyat di bawah.

“Kita akan tingkatkan ekonomi dan pendapatan rakyat melalui program 100 Hari Pakatan Rakyat ini,” katanya.

Pada 19 Disember lalu, Pakatan Rakyat menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif jika pihaknya mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari “kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan 10 program”, antaranya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Lain-lain inisiatif ialah:

— Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat

— Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang

— Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan

— Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa Bandar

— Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda

— Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20 peratus

— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman

— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah

Normala Sudirman, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mala merupakan calon PAS di N.05 Tenang.

Johorkini tidak memberikan tumpuan kepada pengumuman calon PAS, malam tadi kerana telah terlalu ramai  yang membuat liputan, Johorkini menjelajah dan ‘pasang telinga’ di tempat-tempat tertentu. Hasilnya Johorkini mendapati hampir 500 orang anggota dari Cawangan Khas didatangkan ke Labis untuk menghadapi PRK N.05 Tenang.

Dari seramai 500 orang itu hampir 50 orang ditempat disetiap UPU. Apa yang dimaklumkan, pengundi di DUN Tenang merasa tidak begitu selesa untuk bergerak disebabkan kehadiran begitu ramai anggota keselamatan, yang lebih menghairkan mereka, didalam kebanjiran pasukan keselamatan, malam minggu lalu, disempadan Tenang lebih tepat lagi di jalan Labis – Segamat, telah dibanjiri oleh ‘mat rempit’ yang mencabar pihak berkuasa yang hanya mampu melihat aksi mereka.

Dari pemerhatian salah sebuah pangsapuri penempatan guru, di Labis yang belum diduduki telah dipenuhi oleh anggota keselamatan ini. Harapan penduduk di Tenang, kehadiran ramai pasukan Keselamatan ini bukan untuk menjaga Umno Barisan Nasional tetapi mereka mesti bersikap adil dengan mengambil tindakan awal keatas mereka-mereka yang cuba menimbulkan provokasi, PAS telah menyatakan sejak awal lagi bahawa PRK ini dijalankan dengan cara menerang bukan menyerang.

Johorkini dimaklumkan bahawa penduduk di Tenang juga tidak mengharapkan kehadiran Tengku Adnan, penaung Pekida Putrajaya, bersama anak buahnya kerana kehadiran mereka ini adalah bertujuan menimbulkan kekacauan dengan menganggu perjalanan PRK N.05 Tenang, dan kebolehpercayaan pasukan keselamatan menangani kumpulan Pekida ini amat diragui oleh pengundi Tenang.

1.      Isu ini menimbulkan kontroversi ekoran daripada aduan seorang ahli MCA yang menulis surat kepada Perdana Menteri meminta suara azan di Masjid Al Ikhlasiah, Pantai Dalam diperlahankan.

2.      Ekoran aduan tersebut, pihak masjid Al Ikhlasiah, Pantai Dalam telah memperlahankan suara azan dan telah menimbulkan kemarahan beberapa pihak. Beberapa pihak telah mengadakan demonstrasi dihadapan masjid tersebut minggu lepas.

3.      Memorandum ini meminta dan mendesak JAWI agar menimbangkan beberapa perkara penting-

i.                     Meminta suara azan di masjid Al Ikhlasiah dikembalikan seperti asal bagi mengelakkan lebih banyak kemarahan umat Islam khususnya di kawasan sekitar. Ini kerana majoriti penduduk di sekitar kawasan masjid adalah dari kalangan umat Islam. Tidak timbul soal suara azan mengganggu penduduk kerana lebih ramai umat Islam menetap di kawasan terbabit.

ii.                   DPPWP juga menuntut agar pihak JAWI membuat satu ketetapan dan garis panduan berkenaan penyiaran azan, tarhim dan kuliah di masjid dan surau sekitar Wilayah Persekutuan. Ini meliputi bagi kawasan majoriti Islam dan majoriti bukan Islam dengan merujuk perlembagaan negera dan juga usul fiqh dalam manhaj dakwah kepada umat Islam dan bukan Islam.

iii.                  Sikap saling menghormati amalan agama perlu diamalkan oleh semua pihak. Dalam hal ini, semua agama mempunyai kaedah mereka tersendiri dalam melaksanakan ibadat masing-masing. Islam mengamalkan azan sebagai suatu peringatan terhadap ibadah solat fardhu. Justeru agama lain perlu menghormati amalan Islam ini tanpa perlu pertikaian.

iv.                Islam adalah agama rasmi di negara ini. Semua pihak perlu menerima bahawa Islam adalah agama persekutuan. DPPWP dan umat Islam merasakan bahawa JAWI tidak perlu tunduk kepada tekanan mana-mana pihak berhubung pengamalan Islam di negara ini. Seakan-akan ia adalah suatu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama persekutuan di Malaysia.

v.                  DPPWP dan umat Islam berkongsi kebimbangan sekiranya JAWI melayan aduan seperti ini, kerana ia boleh mengundang kepada pelbagai kontroversi di masa akan datang. Mungkin ada pihak yang meminta suara azan hanya di dengari dalam masjid sahaja, ataupun jangan menggunakan pemesar suara langsung. Ambillah iktibar dari keadaan yang berlaku di Singapura di mana  pembesar suara tidak boleh dihalakan ke luar masjid dan hanya dalam kawasan masjid sahaja boleh mendengar suara azan yang dilaungkan.

4.      DPPWP meminta JAWI memberikan penjelasan lanjut berhubung kontorversi isu di atas dan meminta JAWI menjernihkan keadaan agar semua pihak memahami isu sebenar yang timbul. DPPWP mengharapkan agar semua tindakan daripada pihak JAWI dapat memberikan kelebihan kepada umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan ini demi kepentingan agama Islam.

Sekian aduan dan desakan kami.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Naib Ketua

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa kesal dan kecewa dengan tindakan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang tunduk kepada permintaan seorang ahli MCA yang mahukan suara azan di Masjid Al Ikhlasiah, Pantai Dalam diperlahankan. Apakah malang bagi sebuah negara Malaysia yang majoritinya beragama Islam apabila Perdana Menterinya tidak mempunyai wibawa dan ketegasan bagi membela syiar dan syariat Islam.

Umat Islam seluruhnya juga merasa terpukul dengan arahan ini yang menganggap ia adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini. DPPWP dan umat Islam tidak boleh menerima hakikat arahan ini, kerana azan adalah kaedah dakwah Islam kepada masyarakat bukan Islam bagi mengajak mereka terhadap keindahan Islam. Azan juga adalah sebagai seruan kepada umat Islam agar menjaga ibadah dan seterusnya mengimarahkan masjid.

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, azan telah menjadi suatu syiar kepada umat Islam. Ia perlu dikumandangkan untuk didengari oleh seluruh manusia. Bahkan Nabi SAW mengarahkan azan agar dilaungkan dengan kuat sebagai menandakan masuknya waktu Solat.

Bagi kaum bukan Islam, azan tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah syiar Islam. Sama seperti agama Kristian dan Hindu yang membunyikan loceng tatkala waktunya, kaum Tionghua yang membakar mercun pada masanya, bagi umat Islam azan adalah kaedah bagi menandakan masuk waktu bersembahyang.

DPPWP difahamkan individu yang membantah azan di Masjid Ikhlasiah, Pantai Dalam adalah seorang ahli MCA seumur hidup. Beliau telah menulis surat kepada Perdana Menteri meminta suara azan di masijd tersebut diperlahankan. Dalam hal ini, DPPWP mempersoalkan apakah Perdana Menteri dan JAWI tunduk kepada tekanan ini hanya kerana beliau seorang ahli parti komponen BN? Isu ini membuktikan bahawa UMNO bukanlah parti yang mampu membela dan mempertahankan Islam, kerana mereka sendiri terpaksa akur dengan tuntutan ahli-ahli parti komponennya.

DPPWP difahamkan juga bahawa kawasan sekitar Pantai Dalam adalah kawasan yang dihuni oleh ramai orang Melayu beragama Islam. Saban hari dan tahun penghuni sekitar tidak menghadapi masalah dengan laungan azan di masjid tersebut, tetapi mengapa hanya dengan satu aduan daripada seorang ahli MCA tiba-tiba pihak JAWI dengan serta merta mengarahkan azan diperlahankan?

DPPWP mengingatkan Perdana Menteri bahawa tindakan ini boleh merendahkan maruah Islam dan umatnya. Bagaimanakah nanti selepas ini jika pelbagai aduan diajukan terhadap mana-mana masjid agar laungan azan diperlahankan atau mungkin ditiadakan, adakah Perdana Menteri dan JAWI akan tunduk terhadap aduan mereka? DPPWP bimbang sekiranya berlaku nanti ada masjid terpaksa dibuang pembesar suara kerana dianggap mengganggu penduduk sekitar dan pihak kerajaan melayan tuntutan mereka!

 

Disediakan oleh;

 

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Naib Ketua

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

 

DPP PUTRAJAYA mengucap selamat menyambut Maal Hijrah 1432 kepada semua pembaca beragama Islam. Maal Hijrah atau Hari Awal Muharram merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam.

azlanPertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 masihi,

Semoga dengan kelahiran tahun baru Islam dapat menjadikan kita sebagai seorang muslim yang benar2 memahami Islam yang kita anuti. Dan kita sama-samalah meningkatkan kefahaman kita terhadap Islam secara total. Islam bukan hanya pada ritual ibadah semata2, tetapi ia mencakupi segenap aspek kehidupan  : ISLAM IS THE WAY OF LIFE!!!!

Dewan Pemuda PAS WIlayah Persekutuan menyokong penuh tindakan Kerajaan Selangor yang membantah tuntutan kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebanyak 37 peratus berkuatkuasa 31 Mac tahun hadapan.

Tuntutan SYABAS yang disokong oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor adalah satu penganiayaan kepada rakyat. DPPWP juga kesal kerana Shaziman bersekongkol dengan SYABAS untuk menaikan kadar tarif air berkenaan jika kerajaan Selangor gagal menyerahkan semua aset industri airnya kepada Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) sebelum 31 Mac hadapan.

Apa yang berlaku pada hari ini memperjelaskan bahawa Kerajaan Umno-BN yang memerintah Selangor sebelum ini telah melakukan pengkhianatan terbesar pada rakyat kerana menandatangani satu penjanjian konsensi pembekalan air bersama SYABAS selama 30 tahun dengan meletakan terma untuk membolehkan syarikat berkenaan menaikan kadar tarif pada tempoh tertentu tanpa perlu melihat kepada keadaan ekonomi negeri dan rakyat.

DPPWP mewakili pengguna air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mendesak agar Yang Di Pertuan Agong menghalang hasrat SYABAS dan membatalkan perjanjian konsensi yang jelas merugikan rakyat di Lembah Klang.

DPPWP menyeru seluruh pengguna air di Lembah Klang turun beramai-ramai mengiringi Menteri Besar Selangor pada 5 Disember ini untuk menghantar Memorandum rakyat ke Istana Negara.

Jika pengguna air berdiam diri pada hari ini, maka tiada siapa lagi yang dapat menghalang kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus ini.

Hatta pihak Menteri sendiri hanya mampu memberikan jaminan tidak akan menaikan tarif air selama setahun kepada Kerajaan Melaka dan Johor walaupun negeri berkenaan sudah berikrar akan menyerahkan aset industri airnya kepada PAAB pada bulan Disember dan Januari nanti. Selepas setahun, tarif air tetap akan dinaikan juga di Melaka dan Johor, apa yang Shaziman mampu buat jika PAAB membuat tuntut sama seperti SYABAS hari ini?

Dalam hal ini, rakyat sebagai pengguna air juga yang akan tertindas. Cukuplah rakyat melihat Kerajaan Umno-BN Selangor telah membuat kesilapan dan mengadaikan sumber air Selangor sebelum ini, jangan tutup mata dan anggap Kerajaan Umno-BN di Melaka dan Johor sudah cukup bijak dalam hal ini.

Hakikatnya mereka telah melakukan perkara yang lebih buruk lagi kerana seluruh aktiviti pengurusan air di negeri mereka selepas ini akan diswastakan 100 peratus! dan Kerajaan Negeri bakal hilang kawalan terhadap sumber air negeri.

Marilah bersama-sama menyokong Kerajaan Pakatan Selangor yang bertekad mempertahankan aset pengurusan air negeri dan hak pengguna air yang mahu tarif air tidak dinaikkan.

 

Herman Samsudeen
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan